Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

20 Mei 2013

Tujuan penyelidikan dalam pendidikan.

Posted on 11:01 PTG by Chrisroyston Bakum


Salam sejahtera kepada anda yang sedang blogwalking hari ini. Nampaknya kita dijodohkan untuk bertemu di ruangan ini. Kali ini aku nak kongsikan beberapa maklumat mengenai penyelidikan tindakan secara ringkas dalam dunia pendidikan.

Banyak jenis penyelidikan dapat dijalankan, ada yang melibatkan bidang perubatan dan juga rekaan. Namun untuk kali ini kita aku akan kongsikan mengenai kajian dalam pendidikan. Dalam dunia pendidikan kita sentiasa berusaha memperbaiki kualiti sesuatu kaedah dalam perlaksanaan amalan profesional. Oleh hal yang demikian, kajian dalam pendidikan memiliki lima tujuan utama iaitu, meramal, memperbaiki, menjelaskan, menghuraikan dan menyelesaikan masalah.

Dalam pendidikan, para guru hendaklah mahir meramal dan membuat jangkaan dalam melaksanakan sesuatu aktiviti pedagogi. Ini merupakan kemahiran yang penting untuk membantu guru menentukan tahap atau aras yang hendak diajar kepada murid. Kajian tindakan merupakan satu kaedah yang boleh membantu guru meramal corak pembelajaran dan ia hendaklah dijalankan menggunakan disiplin-disiplin yang telah ditetapkan dalam menjalankan kajian.

Kajian juga berperanan untuk mencari kaedah yang paling berkesan untuk memperbaiki prestasi murid di dalam kelas. Ia juga digunakan untuk memperbaiki teknik pengajaran yang diaplikasikan oleh guru-guru di dalam kelas. Tidak semua sekolah memiliki suasana pembelajaran yang optima serta sesuai dengan latar belakang murid. Oleh hal yang demikian, satu kajian boleh dijalankan untuk memperbaki kualiti pembelajaran di dalam kelas. Kajian sebegini hendaklah mengambil kira teori-teori yang mampu mengoptimakan aktiviti di dalam kelas. Guru hendaklah menilai sejauh mana peningkatan pencapaian murid melalui perbandingan selepas dan sebelum kajian. Aspek kualitatif dan kuantitatif merupakan perkara yang penting dalam menjadi panduan untuk menilai hasil kajian.

Kajian ini juga digunakan untuk membantu guru memahami sesuatu suasana yang terjadi di dalam bilik darjah. Adakalanya masalah disiplin akan menimbulkan banyak persoalan. Melalui kajian sebegini, guru akan mempu menjelaskan mengapa sesuatu masalah terjadi di dalam kelas. Guru juga dapat menggunakan kajian untuk menjelaskan prestasi murid di dalam kelas, apakah faktor penyumbang dalam mengalakkan minat murid untuk belajar.

Guru adakalanya menyediakan laporan. Laporan tersebut hendaklah dihuraikan dengan jelas dan logik. Dalam keadaan ini, kajian yang mudah berperanan untuk menghuraikan maklumat yang terdapat di dalam laporan tersebut. Beberapa set ujian boleh dijalankan untuk memperoleh data yang menyokong sesuatu maklumat.

Sememangnya di dalam usaha mendidik, banyak halangan dan cabaran yang dihadapi oleh para pendidik (guru). Kajian dilihat sebagai satu jalan untuk menyelesaikan masalah yang timbul di dalam bilik darjah. Kajian yang dilajankan bertujuan untuk mencari kaedah yang sesuai untuk menghadapi sesuatu masalah. Aspek refleksi dilihat sebagai medium penilaian untuk menguji sejauh mana sesuatu kaedah itu berkesan. Sekiranya kajian tersebut kurang memuaskan, satu kitaran kajian lagi boleh djalankan untuk memperbaiki kajian yang telah dilaksanakan sebelum ini.



No Response to "Tujuan penyelidikan dalam pendidikan."

Dengarkan celoteh Blogger dari IPG ( Suara dari guru pelatih dan pensyarah )